Assalamualaikum kepada semua pembaca,
Dah agak lama aku tak menulis dalam blog. Tuntutan komitmen aku sekarang menyukarkan aku untuk memperuntukkan masa yang sesuai utk aku menulis. Walubagaimanapun, akhirnya aku merasakan ada benda yang sia-sia aku buat dalam sehari dan ianya menuntut masa yang lama. Ya Allah, kenapa aku tak sedar akan pembaziran yang telah aku buat? Aku jadi buta dalam terang, alpa dalam sedar dan bisu tatkala berbincang.
Mungkin selepas ini, sambungan untuk episod kisah dari sebuah pondok yang benar-benar aku ilhamkan dari catatan diari hidupku selama 37 tahun akan kembali. Tapi aku kena ambil masa. Cuma sempat aku sampai pada fasa paling aku rindui iaitu alam persekolahan. Tatkala semua benda aku terokai demi sejengkal pengalaman. Alhamdulillah, dengan panduan sang Khaliq, aku diberikan keberkatan menelusuri zaman remaja dengan baik dan berkembang menjadi individu dewasa yang boleh berbakti kepada orang lain. Kerana, demi menuntut sunnah Rasul kesayangan kita, jadilah manusia yang mendatangkan kebaikan kepada yang lain. InshaAllah disempatan waktu yang masih berbaki dengan pinjaman nyawa yang Allah berikan aku berniat untuk seriuskan penulisan itu, amin doakan yer.
Aku masih dalam perjalananku mencari 'sesuatu' yang belum aku ketemu. Mungkin aku terlalu cuai, alpa dan leka dalam perjalanan ini. Ranjau dan duri seakan-akan memenuhi denai perjalanan panjangku. Aku tak dapat sangkal kehendak manusia yang tunduk lemah pada keinginan diri yang mendesak. Kekadang aku seperti tidak dapat fokus dalam apa yang aku buat dan ada masa aku terlalu menyerah pada takdir, namun itu perangsang untuk aku merangkak gagah dikala tersungkur rebah. Aku berserah bulat diriku padaMu sang pencipta kerana telah aku pelajari dari ilmuMu yang Maha Luas, akan sifat manusia yang masih leka akan kenikmatan yang Engkau kurniakan.....sebanyak 31 kali ayat FABIAYYI ALAA 'IRAABIKUMAA TUKADZDZIBAANN (maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan) -surah Ar-Rahman diulang sebagai peringatan kepada manusia.......aku tak terkecuali menjadi sebahagian dari lautan manusia yang terkadang alpa. Yang aku mohonkan dengan sesungguh-sungguhnya adalah kekuatan dan petunjukMu ya Rabbi.....sesungguhnya aku manusia kerdil lagi lemah...
ps: peringatan untuk aku yang kini sedang menjadi mangsa kegagalan DIRI SENDIRI....lagi teruk perasaaannya dari dikhianti sahabat sejati...parah deh!