Aku menulis kembali buat kesekian kalinya buat insan yang melahir dan membesarkan aku dengan serba kapayahan. Aku akui sukar untuk menidakkan rasa sayang dan kasih kepada insan ini walaupun terkadang hati terguris dek perkataan dan perlakuan yang pada aku tidak begitu wajar dan tegar. Apa boleh buat, aku seorang anak, aku pasrah dan redha ya Allah.
"Jika kamu tidak menyayangi, maka kamu tidak akan disayangi" Ungkapan yang menjadi bekalan aku sewaktu hubungan kami diuji dengan cubaan. Aku faham kedudukan insan istimewa ini. Aku benar-benar dapat menyelami bagaimana perasaaan 'dia' pabila ada dikalangan anak yang membuatnya berduka. Airmatanya bisa mencairkan ego anak ini. Aku tewas tiap kali 'dia' mengadu terentak hati dengan sang suami dan anak-anak lain, mengadu mahu menziarahi ibunya yang sakit, mengadu mahu kasut baru serta lain-lain aduan yang semahunya aku turutkan untuk 'dia'. Demi Allah, aku berusaha sebolehnya untuk penuhi setiap tuntutan. Untuk mengungkit, aku anak, tiada daya, sebab jasanya amat-amat besar kepada aku. Untuk membayar setiap titisan susunya saja, tidak terbayar sampai aku kembali kepada pencipta, inikan pula jasanya mengasuh aku mengaji mengenal Quran dan resam dunia. Aku pasti tidak berupaya ya Allah.
Tapi jauh di sudut hati aku ada keluhan sendiri. Dan biarlah keluhan itu mati saja dalam hati. Kerana sang Khaliq tempat aku bergantung kini lebih dari segalanya....Dia Maha Mengasihi Maha Memahami......Aku gantung pusaka kata "Wahai Tuhan, janganlah engkau serahkan aku kepada diriku, kerana aku tidak mampu menguruskannya. Jangan pula engkau serahkan aku kepada orang lain, nescaya mereka aku cuai terhadap aku". Faham amat aku akan perkataan ini bahawa, segala-galanya bergantunglah pada tali Allah....moga Allah merahmati insan istimewa ini dengan kebahagiaan dan kesejahteraan .... Amin YaRabbal 'alamin.
No comments:
Post a Comment