PERJUANGAN MELAYU BELUM SELESAI
Robert Audrey dalam bukunya The Hunting Hypothesis pernah mencatatkan dalam pemerhatiannya akan perangai dua spesis burung camar yang suka bersarang di dua tempat yang berlainan. Satu spesis burung camar suka bersarang di tepi pantai manakala satu lagi suka bersarang di lereng-lereng bukit yang curam.
Hasil kajiannya yang bertahun-tahun itu, beliau mendapati bahawa yang bersarang di pantai hanya mencatatkan kurang daripada 70 peratus kadar kebarangkalian hidup berbanding yang bersarang di lereng bukit mencapai sehingga 90 peratus. Anak-anak spesis burung camar yang bersarang di lereng bukit sebaik sahaja boleh terbang, harus mampu terus menerjah awan walaupun ia buat kali yang pertama. Jika tidak, maut menanti di bawah. Dalam masa yang sama, anak burung camar yang bersarang di pantai tidak menghadapi tekanan yang sama tetapi sering menjadi makanan pelbagai jenis musuh.
Manusia dan burung camar tidak sama. Tetapi kita boleh mengambil iktibar daripada pemerhatian alam itu. Yang jelas apabila dalam keadaan tertekan, setiap spesis akan membuat perubahan demi untuk meneruskan kehidupan. Mungkin itu jugalah, niat yang tersirat apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertindak mengenepikan 'tongkat' yang diberikan kepada orang Melayu selama ini.
Mereka yang sudah biasa dengan tongkat itu, menganggap ia tidak wajar malah perangkaan menunjukkan pemilikan ekuiti Bumiputera yang pernah mencapai pada kadar tertinggi 23 peratus kini telah merosot kepada 18.7 peratus. Malang sungguh kita kalau selepas 47 tahun bantuan yang telah dihulurkan, kita masih tidak mampu 'berjalan sendiri'.
Orang Melayu tidak boleh menyalahkan kerajaan dan UMNO khususnya yang melalui barisan pemimpinnya yang berjiwa murni telahpun mengusahakan pelbagai insentif dan sokongan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa orang Melayu sudah mencatatkan banyak kemajuan sejak kemerdekaan tetapi pencapaian masih terumbang-ambing dan terlalu rapuh.Apabila menghadapi sedikit tekanan ekonomi sahaja, semua kejayaan yang dicapai selama ini akan lebur sekelip mata. Lebih menyedihkan lagi, bila orang Melayu menjadi 'lupa diri' dan hanyut dalam mengejar kebendaan sehingga mengabaikan amanah yang dipikulnya. Akibat daripada itu, kita dikejutkan dengan pelbagai masalah sosial dan untuk menggelak isu sebenar, kita cepat menunding jari kepada orang lain.
Jelas bahawa dalam kita menunjukkan kemampuan mencapai kemajuan fizikal, kita lupa untuk membangunkan insan dan saksiah diri. Kelunturan akhlak dan jati bangsalah yang akan lama-kelamaan membawa kepada binasanya sesebuah negara. Untuk mampu maju kehadapan dan bersaing dengan berkesan, bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa, minda orang Melayu harus diubah. Kita harus sentiasa mampu untuk muhasabah diri, berfikir, sentiasa mencari ilmu dan memperkukuhkan keimanan kepada Allah s.w.t. Perjuangan kita untuk membina bangsa Melayu yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang perlu diteruskan dengan lebih gigih lagi.
ps: Bukan nak pro atau anti gov, sekadar renungan bersama, yg baik jadikan iktibar.
No comments:
Post a Comment