Friday, March 11, 2005

:: Jihad dan Hijrah::

Jihad dengan pengertiannya yang luas meliputi segala bidang usaha dan amal, perjuangan dan pengorbanan, sama ada denga lisan atau kalam, sama ada dengan ilmu pengetahuan, wang atau harta kekayaan, ataupun sama ada dengan mata pedang atau nyawa dan tubuh badan. Jihad yang dipamerkan oleh umat terdahulu menerusi hijrah ialah jihad untuk membela dan membantu Allah dan RasulNya. Iaitu membela agama Allah dengan erti dan konsep yang didatangkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui wahyuNya iaitu al Quran, dan bukannya Islam seperti yang difahami oleh manusia-manusia yang jahil kepada hakikat Islam.

Jiwa jihad tidak mungkin hidup pada setiap Muslim dan juga pada umat Islam tanpa mereka mempunyai rasa cintakan Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya. Iaitu lebih dari ibubapanya, anak isterinya, atau saudara-maranya, atau dari harta benda dan pangkat dan ketinggian. Jelasnya, tanpa rasa cintakan Islam tidak mungkin sama sekali akan sanggup berjihad kerana Allah. Justeru itu, jelas kepada kita kenapakah hijrah yang telah dilakukan oleh Rasullullah bersama-sama dengan para pengikutnya itu telah berjaya mencapai matlamatnya, di mana mereka telah berjaya mencapai kemenangan yang besar untuk mempertahankan akidah dan agama dan menyebar-luaskan deen yang suci ini ke seluruh dunia.

Bagaimanakah pula kita umat Islam masakini? Adakah konsep hijrah yang telah dirakamkan oleh sejarah telah dapat kita fahami dan hayati, sepertimana yang yang telah ditunjukkan oleh pengikut Rasullullah s.a.w. Apa yang jelas dalam kehidupan umat Islam kini menggambarkan kita amat jauh daripada menghayati konsep hijrah. Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredhai Allah. Di mana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai-nilai yang kita amalkan.

Di antara ciri-ciri kemenangan yang perlu ada pada diri kita sebagai seorang Islam menerusi penghayatan hijrah ialah;
1. Seorang yang beriman kepada Allah dan taat serta patuh kepada segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya
2. Orang yang beriman dengan Rasullullah s.a.w., memuliakannya, menolong dan membelanya, dan mengikuti cahaya kebenaran yang diturunkan oleh Allah melaluinya.
3. Orang yang sentiasa membersihkan jiwanya.
4. Orang yang mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t.
5. Orang yang berjihad dengan harta benda dan dirinya.
6. Orang yang bertaqwa, bertaubat, dan sering mengingati Allah.

Akhirnya perlulah kita fahami bahawa hijrah merupakan syiar keimanan, sama ada hijrah dari suatu tempat kekufuran, kemusyrikan dan kejahilan kepada tempat yang dinaungi akidah keimanan dan hakikat kebenaran. Atau hijrah dari kemaksiatan, kemungkaran dan kefasikan kepada ketaatan, kemakrufan dan kesalihan. Seterusnya hijrah dari ketaatan kepada ketaqwaan dan seterusnya kepada mendekatkan diri kepada Allah. Demikianlah juga hijrah dari dunia kepada akhirat, iaitu hijrah dari cintakan dunia kepada cintakan Allah dan hari akhirat.
(Adaptasi dari petikan Hijrah dan Penghayatan oleh Abu Bakar Bin Yang dari IKIM)

No comments:

Apakah ini rasanya.....?

Jika kau bertanya Tentang suka dalam diam.  Mungkin Ia adalah rasa indah dalam dada Yang tak sanggup diungkapkan Karena Ada kecemasan  Janga...